Cabaran dan perubahan dasar pendidikan
ABAD ke-21 akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam
bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh
dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun.
Ramai penulis berpendapat perubahan itu berkait rapat dengan sistem
pendidikan dan perkembangan sistem maklumat.
Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bidang
pendidikan di abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan
pelajar yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh
berfikir secara kritis.
Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya
memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi
mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai
pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini.Bagi mencapai hasrat itu pendidikan perlu bersifat dinamik dan
holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan
persekitarannya.
Kini perubahan terus berlaku di mana masyarakat dunia di abad ke-21 telah memasuki zaman baru yang dikenali sebagai knowledge age
atau k-ekonomi. Keperluan kepada perubahan baru ini menekankan tentang
peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi
perkhidmatan kepada masyarakat. Perubahan ini juga menekankan perlunya
pendekatan berfikir secara kreatif, menyediakan strategi penyelesaian
masalah dan turut melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global.
Apa yang menariknya dalam zaman maklumat ini ialah ia sentiasa
memberi ruang dan peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan
bakat, kebolehan dan potensi mereka melalui techology-powered knowledge yang boleh didapati di mana-mana melalui kemudahan ICT.
Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada
keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi
pada masa tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar
Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan
1970 semuanya adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara
pada masa itu.
Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka
negara juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam
pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin
Yassin, mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran berbentuk kreatif dan
inovatif serta menarik minat pelajar.
Selain itu, diperkenalkan dasar 'Satu Murid Satu Sukan' yang
bertujuan meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam permainan dan
sukan supaya lebih aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula
peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping
meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.
Sementara itu, dasar mengehadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia dan penambahbaikan peperiksaan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah adalah jelas
untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya melahirkan pelajar yang
seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri. Dengan kata lain dasar
ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan
peperiksaan tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang.
Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah
dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan meningkatkan semangat
patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara. Usaha menanamkan
semangat cintakan tanah air melalui pendidikan khususnya dalam mata
pelajaran Sejarah sebenarnya turut menjadi amalan di negara-negara lain
di dunia ini.
Cabaran baru dunia sekarang ialah melalui k-ekonomi. Dalam hal ini
sebenarnya negara kita bersedia dan bertindak awal. Sejak awal 1980-an
apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat, sekolah-sekolah kita
telah mula memperkenal dan menggunakan peralatan komputer.
Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer
didirikan di semua sekolah. Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan
dan penggunaan LCD, laptop dan Internet dan pelajar-pelajar kita
mendapat manfaat yang besar.
Kesimpulannya, Malaysia akan bertambah maju jika rakyatnya dapat
menguasai teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua
urusan. Sesungguhnya zaman k-ekonomi merupakan perubahan global dan
cabaran baru yang perlu kita tangani melalui perubahan dalam dasar
pelajaran.
Artikel ini dipetik daripada :-
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan